GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Tindakan seorang buruh membawa bungkusan plastik dan beg yang berisi daun ketum di dalam kereta miliknya, membawa padah apabila dia ditahan ketika pemeriksaan polis di hadapan Balai Polis Simpang Pertang pada 8 Januari lalu.

Hasil pemeriksaan polis menemukan 11 bungkusan plastik dan dua beg mengandungi 90 kilogram (kg) daun ketum

Berikutan itu, Mohd Firdaus Abdullah, 35, dari Teluk Intan Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki daun ketum.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Bagaimanapun mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan kimia dan menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa memiliki 90 kg helaian daun ketum di di hadapan Balai Polis Simpang Pertang pada 11.20 pagi, 8 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis yang menjalankan penugasan trafik/snap check di hadapan Balai Polis Simpang Pertang pada jam 11.20 pagi, 8 Januari lalu.

Ketika polis menjalankan pemeriksaan terhadap kereta tertuduh, polis menjumpai 11 bungkusan plastik dandua beg yang berisi daun ketum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:40 PM