AKSEM Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan ke Thailand selepas menahan seorang lelaki dan menemui 500 kg daun ketum. FOTO ihsan AKSEM PERLIS
AKSEM Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan ke Thailand selepas menahan seorang lelaki dan menemui 500 kg daun ketum. FOTO ihsan AKSEM PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mematahkan cubaan penyeludupan ketum ke Thailand selepas menahan seorang lelaki dan menemui 500 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM15,000 di Simpang Empat, di sini, hari ini.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Azizan Saman berkata, bertindak atas maklumat, anggota AKSEM dibantu anggota risikan Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu rumah di Kampung Sungai Baru Tengah, Simpang Empat, 2 pagi tadi namun kehadiran mereka dikesan lelaki di dalam rumah berkenaan.

"Sebaik tiba di hadapan rumah, suspek berusia 40 tahun itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun Azizan berkata, pasukan operasi mengejar suspek dan menangkapnya sekitar kawasan berhampiran kediaman itu.

Katanya, suspek cedera di kaki kiri kerana terjatuh ketika cuba melarikan diri.

"Pemeriksaan di ruang tamu kediaman suspek kemudian menjumpai 50 bungkusan plastik hitam dengan berat 500 kg di mana di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum.

"Berdasarkan daun ketum yang dirampas ini, kita percaya ia bernilai RM15,000 dan cuba diseludup untuk pasaran Thailand menggunakan 'lorong tikus,'" katanya.

Beliau berkata, suspek dan rampasan daun ketum itu dibawa ke Pejabat AKSEM Kuala Perlis untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:28 AM