ASMADI  (kanan)  menunjukkan kenderaan yang digunakan suspek.
ASMADI (kanan) menunjukkan kenderaan yang digunakan suspek.
myMetro

Alor Gajah: Seorang lelaki berusia 36 tahun sanggup memandu sejauh hampir 400 kilometer ke Perak bagi mendapatkan bekalan daun ketum yang dipercayai untuk diproses sebelum dijual dalam bentuk minuman kepada pelanggannya di sekitar daerah ini.

Namun, hasratnya mendapat wang mudah terbantut apabila dikesan membawa 20 kilogram (kg) daun ketum ketika melalui sekatan jalan raya di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, jam 12.15 tengah malam, kelmarin.

Lelaki sama juga belum serik apabila sudah empat kali ditahan atas kesalahan sama sebelum ini, namun terus menjual air daun ketum.

Difahamkan, dalam tangkapan sebelum ini, suspek yang dihadapkan ke mahkamah hanya dikenakan denda atas kesalahan itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dalam pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dipandu suspek, pihaknya menemui tiga bungkusan besar plastik hitam mengandungi daun ketum yang belum diproses.

Beliau berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penarik kabel di sebuah syarikat swasta dalam perjalanan pulang ke Bukit Rambai, selepas mengambil bekalan daun berkenaan di Perak.

“Suspek membeli daun ketum pada harga RM15 satu kg yang kemudian diproses menjadi air sebelum dijual kepada pelanggan sekitar Bukit Rambai dan Sungai Udang pada harga RM10 seliter.

“Hasil semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kesalahan sama iaitu dua rekod bersabit Tanjung Kling dan masing-masing satu rekod bersabit Batang Tiga dan Jeniang, Kedah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, semalam.

A Asmadi berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan jika suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan atau individu yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran air daun ketum.

“Dia kini direman selama tiga hari bermula semalam (kelmarin) sehingga esok (hari ini) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan gelagat lelaki itu yang mencurigakan ketika melalui sekatan jalan raya, membongkar rahsianya membawa daun ketum dalam kereta dipandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:40 AM