MANGSA diberikan rawatan segera oleh kakitangan Hospital Temerloh sebaik berjaya dibawa keluar APM dari lokasi banjir.
MANGSA diberikan rawatan segera oleh kakitangan Hospital Temerloh sebaik berjaya dibawa keluar APM dari lokasi banjir.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Pengorbanan besar dilakukan apabila sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) apabila sanggup berjalan kaki meredah banjir sejauh dua kilometer demi menyelamatkan nyawa pesakit kanser payudara.

Lebih menyukarkan keadaan apabila usaha itu dilakukan bermula jam 10 malam tadi, selepas pihak APM dihubungi dan diminta membawa keluar pesakit wanita warga emas itu untuk menerima rawatan kecemasan.

Pegawai operasi APM Daerah Sentul, Leftenan Irwan Shah Khairi Yap berkata, pihaknya terpaksa meredah banjir sedalam 1.5 meter untuk mengambil mangsa yang sudah tidak bermaya.

"Pesakit terbabit dan ramai penduduk lain didapati terperangkap di Taman Sri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang," katanya.

Menurutnya, seramai 10 anggota APM termasuk dua pegawai bertindak mengusung mangsa yang diletakkan di dalam bot susulan laluan masuk ke taman perumahan itu terputus akibat banjir.

"Usaha menyelamatkan nyawa mangsa berbaloi apabila wanita itu berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada petugas Hospital Temerloh untuk diberi rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, APM Daerah Sentul sebelum ini dikerah ke Kuala Krau, Temerloh, untuk membantu mangsa banjir selain membawa bekalan makanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terputus laluan sejak awal minggu ini.

"Selain itu kami ditugaskan membuat pemantauan di sekitar kawasan Kampung Kubur, Kampung Masjid, Kampung Batu Gading dan kawasan sekitar Kuala Krau bagi membantu mangsa yang terjejas akibat bencana ini.

"Selain itu kami turut memastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap di lokasi bencana selain memantau tiada pihak mengambil kesempatan melakukan jenayah curi.

"Sehingga malam tadi, paras banjir didapati kian surut. Bagaimanapun APM akan terus berganding tenaga membantu mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk di terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 8:45 AM