PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) di SK Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut. FOTO Ihsan APM
PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) di SK Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut. FOTO Ihsan APM
Asrol Awang

Kuantan: Seramai 2,031 mangsa daripada 582 keluarga berada di 30 pusat penempatan sementara (PPS) di tujuh daerah di Pahang iaitu Rompin, Maran, Jerantut, Pekan, Raub, Temerloh dan Bera setakat jam 8 pagi, hari ini.

Peningkatan jumlah mangsa banjir di Pahang susulan Temerloh antara daerah terbaharu dilanda banjir awal pagi ini, berbanding 1,582 mangsa daripada 421 keluarga, petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, Rompin merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,190 orang dan diikuti Maran dengan 355 orang.

Pekan dan Jerantut, masing-masing merekodkan 106 mangsa dan 96 mangsa manakala Raub, Bera dan Temerloh, masing-masing membabitkan 68 mangsa, 29 mangsa dan 22 mangsa.

Sementara itu, paras air Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong di Rompin merekodkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.

Lapan sungai pula merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu di Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka di Maran.

Selain itu, Sungai Pahang di Waterfront dan Sungai Triang di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.

Paras air di enam sungai pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu di Sungai Pahang di Sungai Yap dan Sungai Pahang, Jerantut Feri, Jerantut.

Selain itu, Sungai Semantan di Jambatan Keretapi, Mentakab dan Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dan Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 9:14 AM