SANAK saudara dan sahabat handai hadir pada upacara pengebumian jenazah Azuan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang. FOTO Samadi Ahmad
SANAK saudara dan sahabat handai hadir pada upacara pengebumian jenazah Azuan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Kajang:"Saya mahu tidur di sini dan tidak mahu pulang ke rumah" itulah perkataan diucap berulang kali peserta terjun tapak (base jump), Azuan Taharuddin, 49, kepada rakan pasukan sebelum maut dalam tragedi petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa hilang kawalan ketika membuat terjunan persiapan latihan Putrajaya Base Jump 2021 di bangunan di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Putrajaya.

Rakan sepasukan mangsa, Adi Khirman Marji, 38, berkata, sebelum kejadian, Allahyarham Azuan dilihat kerap termenung dan kadangkala memberi nasihat kepada penerjun lain.

Katanya, arwah acap kali berkata mahu tidur di situ (Putrajaya) termasuk kepada rakan pasukan.

"Saya beritahu arwah akan carikan hotel atau bilik yang boleh dijadikan tempat tidur. Sepatutnya pada hari kejadian (semalam) arwah tidak melakukan terjunan dan hanya bertugas di bahagian bawah bagi mengawal penerjun lain yang mendarat.

"Bagaimanapun arwah sangat teruja untuk terjun ketika itu," katanya ketika ditemui selepas solat jenazah di Surau As Sa'adah, Sungai Jelok Indah, di sini tadi.

Adi Khirman berkata, dia tidak menyangka kata-kata arwah menjadi kenyataan apabila berlakunya tragedi terhadapnya.

"Kehilangan arwah amat menyedihkan kami. Ia juga satu kehilangan besar kepada sukan lasak terjunan 'base jump'.

"Di Malaysia hanya terdapat 20 penerjun 'base jump' di mana hanya 15 orang sahaja yang aktif termasuk arwah.

"Arwah dianggap sebagai lagenda dalam sukan lasak ini malah menjadi sumber rujukan membabitkan penyelenggaraan," katanya

Solat jenazah diimamkan adik Allhayarham, Azrin Taharuddin sebelum jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang jam 3.30 petang tadi.

Turut hadir, ibu mangsa, Asmah Kassim, 73, dan isteri, Salinah Mohamad termasuk hampir 100 ahli keluarga dan sahabat handai.

Sementara itu Asmah memaklumkan kali terakhir bertemu anaknya itu seminggu lalu.

Katanya, arwah seorang anak yang bertanggungjawab dan ringan tulang membantu ahli keluarga.

"Azuan sering membawa saya ke Hospital Serdang untuk melakukan rutin pemeriksaan kesihatan.

"Sebelum ini saya pernah menasihati arwah berhenti menyertai sukan terjun itu kerana bimbang keselamatan dirinya. Namun saya akur terhadap minatnya itu," katanya.

Sementara itu isteri mangsa, Salinah Mohamad, 46, berkata, dia tidak pernah menyekat minat arwah suaminya terhadap sukan lasak itu.

"Pada hari kejadian semalam (kelmarin) rakan arwah datang menjemput saya dan membawa ke Hospital Putrajaya. Saya hanya dimaklumkan arwah kemalangan.

"Terdetik hati saya sesuatu buruk sudah berlaku sebelum dimaklumkan arwah meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.

Berita berkaitan

Penerjun maut ada 12 tahun pengalaman BASE

Insiden penerjun maut: Polis minta penjelasan PPj, KPWKM [METROTV]

Peserta payung terjun maut latihan di Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:05 PM