GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Penerjun sukan bangunan, antena, jambatan dan tebing tinggi (BASE) yang maut ketika menjalani latihan, semalam mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam sukan BASE.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakan penerjun lain daripada Kelab BASE ABABIL sedang menjalani latihan terjunan BASE yang dijadualkan antara 1 hingga 3 Januari bagi persiapan pasukan dalam acara Putrajaya BASE Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, 1 Februari depan.

Beliau berkata, penerjun yang maut, Azuan Taharudin, 49, adalah penerjun terakhir daripada lima penerjun pada ketika itu dan ketika terjunan, payung digunakannya terbuka serta secara tiba-tiba dan kelihatan hilang kawalan menyebabkan mangsa terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.

Katanya, Allahyarham pernah melakukan 500 terjunan dari kapal terbang dan lebih 300 terjunan BASE.

"Mangsa sering terbabit dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya,

Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya BASE Jump 2020.

"Perbadanan Putrajaya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Azuan Taharudin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata, BJ2021 adalah acara tahunan PPj yang julung kali diadakan pada tahun lalu manakala latihan yang diadakan semalam, membabitkan seramai lapan penerjun Kelab BASE ABABIL.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.35 petang manakala semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca sudah diambil kira selain penanda arah angin diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan.

"Hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan. Sesi latihan ini mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terbabit serta PPj selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, Pasukan SMART Team juga dimaklumkan serta berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Polis Putrajaya akan mendapatkan penjelasan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung insiden itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata latihan untuk persediaan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari depan itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya terlebih dahulu oleh PPj mahupun pemilik bangunan terbabit.

Katanya, walaupun pihak berkenaan tidak perlu meminta kebenaran untuk melakukan latihan berkenaan, pemakluman kepada pihak polis membolehkan pihaknya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Ia berikutan apabila mana-mana pihak menjalankan aktivti terjunan, mereka mungkin boleh terjatuh di atas jalan. Jika pihak kami dimaklumkan, saya boleh mengarahkan unit trafik membuat kawalan keselamatan. Bagaimanapun, apabila mereka tidak memaklumkan kepada kami, apabila berlaku sesuatu tiada apa yang boleh kami lakukan.

"Justeru, kami akan meminta pihak terbabit untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan," katanya kepada pemberita ketika menjalankan Operasi Khas Basikal, di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang peserta terjun BASE, maut apabila dipercayai terjatuh ketika menjalani latihan menggunakan payung terjun dari bangunan KPWKM, di sini.

Berita berkaitan:

  • Polis minta penjelasan PPj, KPWKM [METROTV]
  • Peserta payung terjun maut latihan di Putrajaya
  • Pada 2 Februari tahun lalu, media melaporkan seorang peserta terjunan ekstrem sempena Putrajaya BASE Jump (PBJ) berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu bangunan KPWKM ketika cuba melakukan pendaratan.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, penerjun Jepun, Yasuhiro Kubo, tergantung

    From: Fida

    Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 3:54 PM