AMAR Baharin. FOTO Arkib NSTP
AMAR Baharin. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Ini khabar gembira!" Kata pelakon Amar Baharin berhubung kenyataan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) bahawa ibunya, Norhayati Abd Aziz, 62, akan mendapat tanah ganti susulan isu hak milik tanah yang bertindih.

Amar, 39, berkata, dia bagaimanapun masih belum dihubungi pihak berkenaan.

"Syukur, dengan khabar gembira ini. Saya percaya ini adalah maklum balas daripada kenyataan Menteri Besar Selangor semalam. Cuma, saya masih belum mendapat sebarang panggilan atau pemakluman daripada PTGS.

"Apa pun, saya anggap ini adalah maklum balas yang baik untuk keluarga saya terutamanya mak yang sudah lama dijanjikan tanah ganti iaitu sejak 2014. Insya-Allah, kalau saya sudah dihubungi dan ada pertemuan dengan mereka, saya akan kongsikan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, PTGS pada kenyataan berkata, isu pertindihan tanah milik keluarga Amar berpunca daripada kesilapan teknikal semasa proses 'charting' secara manual ke dalam lembar lito (litho sheet) di Unit Teknikal, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL).

PTGS memaklumkan, kesilapan itu berlaku berikutan terdapat dua permohonan pemberimilikan secara berkelompok yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kawasan yang sama pada 1978 dan 1995.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan isu membabitkan tanah milik keluarga Amar di Semenyih bukan kes pertama di negeri ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat beberapa kes seumpama itu berlaku berikutan sistem perekodan dilaksanakan secara manual sebelum ini.

Sebelumnya, Amar berkongsi rentetan kisah geran tanah milik keluarganya yang mempunyai dua geran berbeza di media sosial untuk mendapatkan jawapan bagaimana ia boleh berlaku dan mempersoalkan ia kesilapan siapa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 4:09 PM