IZZAH kini berada di Jepun dalam rangka persediaan ke Olimpik Paris.
IZZAH kini berada di Jepun dalam rangka persediaan ke Olimpik Paris.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba basikal wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencabar dirinya untuk mencatatkan masa sekitar 10.0 saat (s) dalam acara pecut 200 meter (m).

Dia bersama dua lagi Olimpian negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhamad Shah Firdaus Sahrom kini berada di Jepun dalam rangka persediaan ke Olimpik Paris.

Mereka dijangka turun beraksi dalam beberapa kejohanan Piala Presiden di Jepun bermula esok sepanjang lapan hari berada di negara matahari terbit itu.

Kata Izzah, adalah penting bagi dirinya untuk mencatatkan masa sekitar 10s bagi memastikan peningkatan prestasi dan bekalan terbaik untuk ke Paris.

"Penting untuk saya lakukan catatan masa sekitar 10s itu. Jika berjaya ia menunjukkan prestasi saya semakin meningkat.

"Dalam acara keirin pula saya mahu berada di kelompok hadapan. Saya mahu cabar diri saya untuk berikan saingan dengan pelumba berkelas dunia.

"Semua ini saya mahu lakukan kerana berharap dapat mencatat 10s atau 10.9s lagi di Olimpik Paris," katanya.

Izzah bersama, Azizul dan Shah Firdaus akan menyertai dua Kejohanan Piala Trek Jepun 1 dan 2. Piala Trek Jepun 1 bermula dari 9 hingga 10 Mei namun pelumba negara hanya akan beraksi esok dalam acara keirin dan pecut. Manakala Piala Trek Jepun 2 pula berlangsung 11-12 Mei.

Ketika ini rekod Asia dalam acara 200m masih dipegang pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze dengan catatan 10.387s dan pelumba Kanada, Kelsey Mitchell memegang rekod dunia 10.154s.

Manakala catatan terbaik Izzah adalah 10.903s yang dilakukan ketika Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu yang juga rekod kebangsaan acara pecut (200m).

Selepas pulang dari Jepun, trio Olimpik trek negara itu akan berada di Kuala Lumpur selama kira-kira 15 hari termasuk menyertai kejohanan trek kebangsaan, sebelum berlepas ke Belgium untuk kem latihan pusat, disusuli ke Mallorca, Sepanyol dan akhirnya ke Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:37 PM