PENDUDUK Palestin berlindung di Rafah berikutan perang berlarutan sejak Oktober lalu. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin berlindung di Rafah berikutan perang berlarutan sejak Oktober lalu. FOTO AFP
AFP

Gaza: Berikutan penutupan sempadan di Rafah, hospital di selatan semenanjung Gaza hanya mempunyai baki bahan api yang boleh bertahan selama tiga hari, menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada Rabu.

Walaupun mendapat bantahan antarabangsa, Israel menghantar kereta kebal ke bandar selatan, Rafah yang sesak pada Selasa dan menguasai Kompleks Imigresen Rafah yang menjadi pintu masuk dan keluar dari Gaza dan Mesir, saluran utama untuk bantuan ke wilayah Palestin yang terkepung.

Tedros berkata, bahan api yang dijangka dibenarkan dibawa masuk oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu disekat.

Pihak berkuasa Israel mengawal aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Penutupan lintasan sempadan (Rafah) terus menghalang PBB daripada membawa bahan api. Tanpa bahan api semua operasi kemanusiaan akan terhenti. Penutupan sempadan juga menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Hospital di selatan Gaza hanya mempunyai baki tiga hari bekalan bahan api. Ia bermakna perkhidmatan hospital mungkin akan dihentikan tidak lama lagi," kata Tedros di X, sebelum ini Twitter.

Tedros berkata Al-Najjar, satu daripada tiga hospital di Rafah, terpaksa ditutup kerana perang yang berterusan di kawasan sekitarnya dan operasi ketenteraan di Rafah.

Katanya, pesakit dipindahkan ke tempat lain dan kakitangan hospital sedang mengalihkan bekalan dan peralatan untuk melindungi mereka.

"Pada masa operasi kemanusiaan semakin rapuh dan memerlukan perkembangan baik dengan segera, operasi ketenteraan di Rafah mengehadkan lagi keupayaan kami.

"Sukar menjangkau ribuan mangsa perang yang hidup dalam keadaan teruk tanpa makanan, sanitasi, perkhidmatan kesihatan serta keselamatan sepatutnya. Keadaan ini mesti dihentikan sekarang," kata Tedros.

Rik Peeperkorn, wakil WHO di wilayah Palestin, memberitahu pada sidang akhbar bahawa bahan api adalah penting untuk membantu operasi rutin harian.

"Bahan api digunakan terutamanya untuk menyalurkan tenaga kepada penjana membekalkan elektrik kepada hospital, memang diperlukan untuk beroperasi.

"Juga digunakan supaya anggota kemanusiaan boleh bergerak dengan kenderaan selain untuk memastikan kedai roti beroperasi.

"Apa yang kita semua perlukan adalah kemanusiaan. Antaranya adalah keperluan bekalan bahan api...bahan api...bahan api," tegas Peeperkorn.

Israel mengebom Rafah pada Rabu ketika rundingan disambung semula di Kaherah bertujuan untuk menyetujui syarat gencatan senjata dalam perang yang berlanjutan tujuh bulan.

Pihak berkuasa Israel mendakwa lintasan Kerem Shalom ditutup pada Selasa kerana serangan roket Hamas, namun lintasan Erez dibuka, tetapi tidak jelas sama ada terdapat bantuan memasuki Gaza atau tidak.

"Saya boleh melaporkan bahawa di sebalik usaha terbaik mereka (Hamas), kedua-dua Kerem Shalom dan lintasan Erez...terbuka, dengan trak yang membawa bantuan kemanusiaan sudah diproses," dakwa jurucakap kerajaan Israel, Avi Hyman pada taklimat akhbar.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, tiada bahan api atau bantuan memasuki Semenanjung Gaza pada Rabu.

Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan menegaskan bahawa pencerobohan Rafah oleh rejim Israel tidak boleh disifatkan sebagai operasi ketenteraan terhad jika "tindakan pertama serangan itu adalah untuk memutuskan dua talian hayat kepada 2.5 juta orang di Gaza," katanya merujuk kepada penutupan lintasan Rafah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:46 PM