ADI Khirman (kiri) bergambar kenangan bersama Allahyarham Azuan (kanan) dan rakan penerjun lain melakukan gimik pelancaran BUDIRun 2020. FOTO BERNAMA
ADI Khirman (kiri) bergambar kenangan bersama Allahyarham Azuan (kanan) dan rakan penerjun lain melakukan gimik pelancaran BUDIRun 2020. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Pemergian penerjun BASE berpengalaman, Allahyarham Azuan Taharudin, 49, adalah suatu kehilangan besar kepada komuniti penerju BASE kerana beliau menjadi sumber inspirasi kepada penerjun baharu serta mempunyai kepakaran dalam aspek teknikal.

Rakan seperjuangannya, Adi Khirman Marji berkata. beliau berkenalan dengan arwah sejak 2012 ketika melakukan 'skydiving' (terjun udara) dan kemudian menceburi sukan ekstrem terjunan BASE bersama Allahyarham sejak 2014.

"Arwah adalah antara yang terawal menceburi sukan BASE 'jump'. Kebanyakan aktiviti BASE 'jump' dilakukan bersama arwah sebab dia adalah sifu dan orang mahir dalam penyelenggaraan payung terjun.

"Tambahan, arwah akan mengkaji aspek teknikal sesuatu objek yang baharu sebelum melakukan terjunan.," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp, di sini hari ini.

Adi berkata, pelbagai perancangan program yang dibincangkan bersama arwah untuk memartabatkan dan mengetengahkan komuniti penerjun BASE di Malaysia.

"Bagi saya dan rakan, kami akan terus melakukan aktiviti terjunan BASE ini dengan lebih berhati-hati dan tidak akan berpatah semangat," kata Adi yang mempunyai enam tahun pengalaman dalam sukan itu.

Adi berkata, beliau bangga kerana pernah beraksi bersama arwah dan antara pencapaian adalah di KL Tower International Jump pada 2016/17/18/19, Terjunan Hari Kebangsaan 2019, Teknikal bagi Malaysia Book of Record-7 Relay Challenge, Terjunan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018, Event Putrajaya BASE Jump 2020, gimik Sambutan Hari Keluarga KPWKM 2019, gimik acara BUDIRun UiTM 2020, Demo Jump Putrajaya International Hot Air Balloon Fiesta 2018 dan Terjunan Jubli Perak (25 tahun) Putrajaya 2019.

Allahyarham Azuan terkorban semasa melakukan latihan terjunan BASE di bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada hari pertama 2021.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, semalam.

Insiden berlaku pada 5.35 petang Jumaat lalu semasa arwah bersama tujuh rakan penerjun sedang melakukan latihan terjunan BASE sebagai persiapan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Semasa terjunan, payung Allahyarham Azuan didapati terbuka, namun secara tiba-tiba ia kelihatan hilang kawalan menyebabkan beliau terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada 6.10 petang.

Difahamkan insiden maut melibatkan aktiviti terjunan BASE di Putrajaya adalah pertama kali terjadi.

Sebelum ini, kejadian penerjun BASE maut pernah berlaku pada 2010 di Menara Alor Setar membabitkan penerjun wanita dari Australia selepas payung terjunnya tidak berfungsi ketika melakukan latihan.

Latihan terjunan BASE dilakukan di bangunan KPWKM kerana ia tersenarai sebagai bangunan tertinggi di Putrajaya dengan ketinggian 172 meter.

Terjun BASE adalah akronim bagi aktiviti sukan ekstrem kerana terjunan dilakukan berdasarkan empat kriteria itu 'Buildings' (bangunan tinggi), 'Antenna' (antena), 'Span' (bridges-jambatan) dan 'Earth' (permukaan bumi yang tinggi).

Berita berkaitan

Tak sangka itu terjunan terakhir Azuan, damailah kau di sana

Penerjun maut ada 12 tahun pengalaman BASE

Insiden penerjun maut: Polis minta penjelasan PPj, KPWKM [METROTV]

Peserta payung terjun maut latihan di Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 5:22 PM