Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang maut selepas dihempap dinding konkrit parit yang sedang dalam pembinaan di Lorong Samarindah Kota Samarahan pagi tadi. FOTO PGO Sarawak
Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang maut selepas dihempap dinding konkrit parit yang sedang dalam pembinaan di Lorong Samarindah Kota Samarahan pagi tadi. FOTO PGO Sarawak
Erika George


Kuching: Dua buruh warga Indonesia maut dihempap dinding konkrit parit yang runtuh mendadak ketika mangsa sedang bekerja di tapak pembinaan di Lorong Samarindah, Kota Samarahan di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, dua mangsa lelaki berusia 29 dan 42 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jam 11.25 pagi tadi.

"Salah seorang mangsa dikenali sebagai Mustakim berusia 42 tahun manakala seorang lagi rakan sekerjanya belum diketahui identiti.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Bomba turut meminta bantuan pekerja binaan yang lain mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan jengkaut.

Setelah hampir dua jam, tubuh kedua-dua mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dan diletakkan di kawasan selamat," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan petugas perubatan KKM mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah," ujarnya.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 4:12 PM