Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Polis akan mendapatkan penjelasan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung insiden seorang penerjun sukan bangunan, antena, jambatan dan tebing tinggi (BASE) maut ketika menjalani latihan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, latihan persediaan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari depan itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya terlebih dulu oleh PPj mahupun pemilik bangunan terbabit.

Katanya, walaupun pihak berkenaan tidak perlu meminta kebenaran untuk melakukan latihan berkenaan, pemakluman kepada polis membolehkan pihaknya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Apabila mana-mana pihak menjalankan aktiviti terjunan, mereka mungkin boleh terjatuh di atas jalan. Jika pihak kami dimaklumkan, saya boleh mengarahkan unit trafik membuat kawalan keselamatan.

"Bagaimanapun, apabila mereka tidak memaklumkan kepada kami, apabila berlaku sesuatu tiada apa yang boleh kami lakukan.

"Justeru, kami akan meminta pihak terbabit memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan," katanya kepada pemberita ketika menjalankan Operasi Khas Basikal, di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kematian mangsa disiasat sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, PPj dalam satu kenyataan berkata, latihan terjunan BASE yang dijadualkan antara 1 hingga 3 Januari ini adalah persiapan pasukan dalam acara Putrajaya BASE Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang bakal diadakan pada 1 Februari ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, BJ2021 adalah acara tahunan PPj yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

Katanya, latihan yang diadakan semalam, membabitkan seramai lapan penerjun Kelab BASE ABABIL.

"Kejadian berlaku sekitar jam 5.35 petang dan semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca sudah diambil kira. Penanda arah angin diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan.

"Hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan. Sesi latihan ini mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terbabit serta PPj selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, Pasukan SMART Team juga dimaklumkan serta berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat," katanya.

Tengku Aina berkata, penerjun yang maut, Azuan Taharudin, 49, pula penerjun terakhir daripada lima penerjun pada ketika itu dan ketika terjunan dilakukan, payung digunakannya terbuka serta secara tiba-tiba kelihatan hilang kawalan lalu menyebabkan mangsa terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.

MOHD Fadzil ketika Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHD Fadzil ketika Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata, Azuan mempunyai pengalaman lebih daripada 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam sukan BASE serta sudah melakukan 500 kali terjunan dari kapal dan lebih 300 kali terjunan BASE.

Katanya, mangsa sering terbabit dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya, Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya BASE Jump 2020.

"Perbadanan Putrajaya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Azuan Taharudin," katanya.

Berita berkaitan

Peserta payung terjun maut latihan di Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 2:50 PM