NYAU Ke Xin ketika berkempen baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
NYAU Ke Xin ketika berkempen baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Calon Bebas, Nyau Ke Xin menyatakan berkempen hampir 95 peratus di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Katanya, menjelang esok, pihaknya yakin dapat mencapai 100 peratus dengan menyatakan penerimaan pengundi sangat baik walaupun beliau adalah calon Bebas.

"Pada pendapat saya semua pengundi di Kuala Kubu Baharu sangat mesra.

"Mereka tidak menunjukkan anda orang luar, anda datang sini untuk pecahkan undi, tak ada," katanya pada sidang medianya di Pekan Kuala Kubu Baharu hari ini.

Dalam PRK Kuala Kubu Baharu kali ini, Ke Xin bakal ditentang oleh Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN) dan Hafizah Zainudin (PRM).

Mengulas lanjut, Ke Xin yang juga anak kelahiran Sabak Bernam berkata, pihaknya akan membuka sebuah pusat khidmat rakyat, sama ada menang atau kalah dalam PRK.

"Tak kira saya menang atau kalah, saya akan membuka sebuah pusat khidmat rakyat untuk membantu rakyat di Kuala Kubu Baharu.

"Sebab apa, saya dapati hampir dua minggu walkabout, 85 peratus rakyat di Kuala Kubu Baharu berada dalam keadaan susah dari segi kebajikan, bantuan kebajikan dan ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa menerima sebanyak enam kali panggilan telefon berbentuk ugutan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan membuat laporan polis kerana yakin pihak tersebut tidak akan berbuat apa-apa terhadapnya.

"Mereka (ugut) menerusi telefon. Saya tak perlu buat laporan (polis) kerana mereka tak buat apa-apa kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 4:12 PM