Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Kuala Pertang, Tanjung Kala, Pasir Jering dan Tanjung Pagar terperangkap selepas jambatan Kuala Pertang ditenggelami air Sungai Nal sejak lima hari lalu.

Jambatan itu ditenggelami air susulan hujan lebat mengakibatkan paras air Sungai Nal meningkat mendadak.

Penduduk, Ahmad Che Nok, 72, berkata, jambatan yang menghubungkan Kampung Pertang dan Tanjung Kala sudah tiga kali ditukar, namun sehingga kini jambatan itu tetap ditenggelami air apabila hujan lebat berterusan selama beberapa hari.

"Apabila jambatan ini ditenggelami, penduduk di Kampung Kuala Pertang, Tanjung Kala, Pasir Jering, dan Tanjung Pagar tidak mempunyai jalan alternatif lain malah terpaksa menggunakan bot tambang sekiranya mahu keluar untuk melakukan urusan masing-masing.

"Ketinggian jambatan ini 2.4 meter namun gelombang kedua banjir baru-baru ini menyebabkan paras air meningkat melebihi jambatan iaitu 3.7 meter.

"Saya dan beberapa penduduk di kawasan sekitar kerap terputus hubungan kerana jambatan Sungai Chenulang mudah tenggelam manakala air akan surut dalam masa dua hingga tiga minggu, bergantung kepada keadaan cuaca," katanya ditemui di Kampung Kuala Pertang di sini, hari ini.

Ahmad berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian untuk menaik taraf jambatan yang sudah lebih 30 tahun digunakan penduduk itu.

AHMAD Che Nok menunjukkan jambatan Kuala Pertang yang menghubungkan empat kampung ditenggelami berikutan paras air Sungai Nal yang naik mendadak.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
AHMAD Che Nok menunjukkan jambatan Kuala Pertang yang menghubungkan empat kampung ditenggelami berikutan paras air Sungai Nal yang naik mendadak.FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Sementara itu, pemandu bot tambang, Mohd Sufakimi Che Noh, 26, berkata, sejak tiga hari lalu, dia diberi tanggungjawab untuk mengemudi bot dan membawa penduduk pergi dan balik daripada kerja selain membeli barang keperluan harian.

"Setiap hari, bermula jam 7 pagi hingga jam 7 petang, saya akan membawa mereka yang memerlukan khidmat bot tambang dan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM2 sehala.

"Secara purata, saya membawa 30 hingga 40 penumpang sehari yang keluar untuk melakukan urusan masing-masing," katanya yang meneruskan legasi arwah bapanya yang sebelum ini terkenal sebagai pengemudi bot di kawasan itu.

Katanya, setakat ini, hanya dia seorang yang mengemudi bot setiap kali ada penduduk yang terperangkap.

"Kerana itu, penting untuk jambatan ini dinaik taraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 5:53 PM