Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Kira-kira 500 penduduk di Kampung Kuala Nal terperangkap selepas jalan utama ke kampung mereka ditenggelami air sedalam hampir dua meter sejak tiga hari lalu susulan hujan lebat dan limpahan air sungai di kawasan berkenaan.

Apabila jalan utama itu ditenggelami air, penduduk tidak mempunyai jalan alternatif lain dan terpaksa menggunakan bot tambang sekiranya mereka mahu keluar untuk melakukan urusan masing-masing.

Pemandu bot tambang, Mohamad Rosdi Mohamad Khatib, 33, berkata, sejak tiga hari lalu, dia diberi tanggungjawab untuk mengemudi bot dan membawa penduduk pergi dan balik daripada kerja selain membeli barang keperluan harian.

"Setiap hari, bermula jam 8 pagi hingga jam 7 petang, saya akan membawa mereka yang memerlukan khidmat bot tambang dan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM2 sehala.

"Tambang yang dikenakan kepada penduduk digunakan untuk membeli dan mengisi minyak petrol setiap kali berulang alik mengambil penumpang yang memerlukan khidmat bot tambang.

"Secara purata, saya mengemudi bot dan berulang-alik hampir 50 kali sehari untuk membawa penduduk sama ada yang keluar untuk bekerja, membeli barang keperluan harian mahupun ubat-ubatan dan jarak jalan utama yang ditenggelami air adalah sejauh 1.3 kilometer," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin hadir melakukan tinjauan di kampung itu termasuk beberapa kampung sekitar bagi memantau situasi paras air.

MOHAMAD Rosdi (kanan) menyediakan perkhidmatan bot tambang sejak dua hari lalu selepas jalan utama ke Kampung Kuala Nal ditenggelami air banjir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHAMAD Rosdi (kanan) menyediakan perkhidmatan bot tambang sejak dua hari lalu selepas jalan utama ke Kampung Kuala Nal ditenggelami air banjir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Mohamad Rosdi berkata, walaupun ada ketikanya berasa letih, dia tetap mengemudi bot untuk membawa penduduk yang memerlukan bantuannya kerana hanya itu pengangkutan utama apabila jalan utama ke Kampung Kuala Nal ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh.

"Setiap kali mengemudi bot, saya perlu sentiasa berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang terutamanya ketika arus air deras.

"Selain saya, terdapat dua lagi bot tambang yang beroperasi dan turut sama membantu memudahkan urusan penduduk," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Nazir Yazid, 39, berkata, dia bersyukur kerana ada pihak yang menyediakan perkhidmatan bot tambang untuk memudahkan urusan penduduk di sini yang akan terperangkap setiap kali musim banjir.

"Dengan adanya perkhidmatan bot tambang ini, saya dan penduduk yang terperangkap tidak akan berasa gusar untuk keluar ke bandar sekiranya mempunyai urusan penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 9:42 AM