Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Banjir di Kelantan hampir pulih apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang kepada 862 mangsa pagi ini, berbanding 978 mangsa semalam.

Semua mangsa daripada 278 keluarga itu berada di lima PPS di Pasir Mas dengan pusat itu dijangka tutup dalam masa terdekat berikutan cuaca yang semakin baik.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang masih dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, Masjid Mukim Padang Licin dan PPS Putat Tujoh.

PENDUDUK menggunakan bot untuk keluar ke jalan utama menghubungkan Kampung Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh di Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PENDUDUK menggunakan bot untuk keluar ke jalan utama menghubungkan Kampung Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh di Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dicatat melebihi paras waspada iaitu 7.94 meter (m), manakala sungai lain berada pada paras normal iaitu Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan di Tangga Krai; dan Sungai Galas di Dabong.

Turut paras normal, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah dan Tambatan Diraja di Kota Bharu; Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Kuala Jambu, Tumpat dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 9:32 AM