GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Teruja apabila dimaklumkan bakal mendapat hadiah istimewa sebagai tanda perkenalan dari jejaka Poland yang dikenalinya di laman sosial Facebook, menyebabkan wang milik suri rumah berjumlah RM177,500 lebur akibat ditipu sindiket African Scam.

Mangsa wanita berusia lingkungan 40-an, mengenali lelaki kononnya berasal dari Poland itu sejak sebulan lalu sebelum mereka berdua menjalinkan hubungan rapat secara alam maya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki itu kemudian memberitahu wanita terbabit bahawa dia ada menghantar hadiah melalui syarikat penghantaran di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, wanita itu diminta membuat beberapa bayaran antaranya cukai, insurans dan caj perkhidmatan lain bagi menebus barang yang dihantar.

"Tanpa berfikir panjang mangsa membuat bayaran berkenaan untuk mendapat hadiah terbabit hingga tidak sedar bahawa dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa membuat 17 transaksi kepada suspek sejak 7 hingga 8 Disember lalu ke dalam lima akaun tempatan berlainan individu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM177,500.

"Mangsa datang membuat laporan polis kelmarin selepas dia sedar dirinya ditipu dan memaklumkan bahawa wang yang diberikan kepada suspek adalah wang simpanannya ketika dia bekerja di sebuah syarikat insurans termasuk wang simpanan ibunya serta wang yang dipinjam daripada adiknya.

"Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang dikatakan dari Poland itu adalah ahli sindiket parcel scam berdasarkan modus operandi yang digunakannya," katanya.

Noorzainy berkata, polis dalam usaha mengesan suspek terbabit termasuk nombor akaun bank yang digunakan untuk melakukan aktiviti penipuan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 1:46 PM