GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Zuhainy Zulkiffli


WANG simpanan seorang wanita yang juga pekerja kilang di Butterworth, sebanyak RM11,000 lesap selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’.

Mangsa berusia 24 tahun mendakwa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Mahkamah Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

“Selepas mangsa menafikan perbuatan itu, talian disambungkan kepada seorang lagi rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyatakan terdapat waran tangkap atas nama wanita berkenaan sudah dikeluarkan.

“Bimbang ditangkap, mangsa patuh arahan suspek sebelum memindahkan wang simpanannya berjumlah RM11,000 ke akaun diberi.

“Suspek mendakwa, wang itu dipindahkan ke akaun pegawai Jabatan Audit Negara kononnya bagi tujuan siasatan seperti yang diarahkan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa hanya sedar ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada saudaranya dan mendapati pemanggil itu adalah sindiket penipuan sebelum membuat laporan polis.

“Polis menasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

“Jangan sesekali panik dan mengikut arahan pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi polis atau organisasi berkaitan bagi mendapatkan pengesahan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 2:12 PM