GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Impian seorang ejen insurans untuk mengubahsuai rumah miliknya musnah selepas dia mengalami kerugian RM252,074 akibat ditipu sindiket pinjaman wang dalam talian.

Semuanya bermula apabila mangsa lelaki berusia 50 tahun melayari Internet baru-baru ini sebelum ternampak iklan pinjaman wang yang menggunakan nama sebuah bank popular.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM200,000 bagi mengubahsuai kediamannya serta kegunaan peribadi lalu meninggalkan nombor telefonnya pada iklan itu untuk dihubungi.

"Mangsa kemudian menerima kiriman aplikasi WhatsApp daripada individu kononnya kakitangan syarikat yang menawarkan pinjaman peribadi itu.

"Kakitangan itu memberitahu bahawa pinjaman mangsa diluluskan tetapi perlu membuat bayaran wang proses termasuk insurans.

"Teruja mendengar pinjamannya itu diluluskan mangsa menuruti kata-kata individu terbabit hingga tidak sedar bahawa dia sudah terperangkap dengan sindiket penipuan alam maya berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat 25 transaksi memasukkan wang ke dalam 18 akaun diberikan dalam tempoh beberapa hari berjumlah RM252,074.

"Mangsa sedar dirinya ditipu selepas individu itu berterusan memintanya membuat bayaran tambahan.

"Selain itu, mangsa turut menyemak daripada pihak bank sebelum diberitahu bahawa perkhidmatan itu tidak ditawarkan oleh bank terbabit lalu tampil membuat laporan polis semalam," katanya.

Noorzainy berkata, wang yang diserahkan kepada suspek adalah wang simpanan mangsa serta pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:44 PM