Kuala Lumpur: Seorang suri rumah yang juga ibu tunggal berusia 50-an kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya anggota sindiket African Scam atau Love Scam yang kononnya mahu menghadiahkan barangan istimewa bersama wang tunai AS$20,000 (RM72,000).

Seperti mangsa lain, ibu tunggal berkenaan juga berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari Turki pada Februari lalu melalui Facebook.

Sejak perkenalan itu, lelaki terbabit yang dipercayai sindiket penipuan berkenaan mula memainkan ‘jarum’ dengan kata-kata dan ayat-ayat cinta sehinggakan mangsa khayal dan dilamun cinta.

Bagi membuktikan cintanya, lelaki berkenaan kononnya mahu memberi hadiah istimewa dan wang tunai kepada mangsa tetapi seperti biasa, bungkusan hadiah mengandungi barangan berharga seperti cincin atau rantai emas dan wang itu kini ditahan pihak kastam di lapangan terbang dan mangsa perlu membuat bayaran tertentu jika mahu barangan berkenaan.

Ketika itu, sindiket menghubungi mangsa dan meminta bayaran tertentu jika mahu mendapatkan hadiah dan wang itu.

Mangsa yang percaya akan memasukkan sejumlah wang seperti diminta dan hanya mengetahui diri ditipu selepas mendapati tidak menerima barangan atau wang seperti dijanjikan sekalipun sudah membuat bayaran tertentu hingga berpuluh ribu ringgit.

Bagi ibu tunggal berkenaan, sebaik mendapati diperdaya, dia terus membuat laporan polis di Balai Polis Wang Maju dan sebaik dapat menghubungi semula ejen yang meminta bayaran itu, mangsa terus mempercayai semula bahawa dia akan mendapat wangnya semula.

“Saya sudah menghubungi ejen berkenaan dan mereka berjanji memulangkan wang saya dalam seminggu lagi, jadi saya tidak mahu mendedahkan perkara itu,” katanya.

Ditanya alasan dia tidak tampil membantu siasatan walaupun sudah membuat laporan polis, mangsa mendakwa dia percaya ejen itu akan memulangkan wangnya.

Wartawan kemudian memberitahu mangsa yang dia sebenarnya ditipu sindiket African Scam selain menjelaskan semua caj perkhidmatan dan alasan barangan ditahan pihak kastam seperti yang didakwa suspek tidak wujud sebaliknya rekaan sindiket.

Bagaimanapun, mangsa berdegil sebelum mengaku tidak pernah mendengar kes penipuan African Scam atau Love Scam.

Difahamkan, mangsa dihubungi seorang ejen mengaku dari syarikat penghantaran yang meminta bayaran tertentu atas cukai perkhidmatan, pengiring barangan, kos penghantaran dan bayaran kepada pihak kastam kerana barangan itu didakwa ditahan di lapangan terbang.

Mangsa sudah membuat empat bayaran berperingkat RM8,500, RM5,000, RM80,000 dan RM9,000 ke dalam dua akaun berbeza.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya ada membuat tangkapan membabitkan lelaki warga Nigeria kelmarin.

Beliau berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan rakan yang baru dikenali melalui laman sosial.

“Orang awam perlu peka dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan wang kepada individu yang dikenali dalam tempoh kurang tiga bulan apatah lagi tidak pernah ditemui.

“Kebanyakan kes penipuan ini agak sukar untuk diselesaikan kerana kebiasaannya suspek menggunakan alamat IP di luar negara atau khidmat rangkaian kawasan setempat (WiFi).

“Oleh itu, ia menyukarkan pihak polis mengesan lokasi sebenar sindiket melainkan mengesan pemegang akaun atau warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:28 AM