GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


WANITA berusia 37 tahun yang dijanjikan untuk berkahwin dengan tentera Amerika Syarikat terpaksa berputih mata selepas kerugian RM112,000 kerana diperdaya sindiket Love Scam.

Mangsa yang juga kakitangan kerajaan itu dilapor berkenalan dengan 'kekasih gelapnya' sejak Mei lalu dan wang berkenaan diserahkannya kepada suspek untuk urusan pernikahan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berkenalan dengan lelaki terbabit di aplikasi Telegram awal bulan Mei lalu.

Katanya, hubungan mangsa dengan suspek yang mendakwa dirinya sebagai seorang tentera di Amerika Syarikat itu semakin intim dan mereka merancang mahu berkahwin.

"Mangsa bercinta dengan suspek tanpa mengesyaki apa-apa dan teruja apabila kekasihnya memberitahu mahu ke Malaysia dan mengahwininya.

"Suspek bagaimanapun meminta wang daripada mangsa sebanyak RM65,000 sebagai perbelanjaan perjalanan dari Amerika Syarikat ke Malaysia dan juga sebagai wang persediaan perkahwinan mereka.

"Mangsa memasukkan wang itu ke dalam akaun yang diberi namun suspek memberitahu bahawa perjalanan pada musim Covid-19 memerlukannya perlindungan insurans.

"Wanita itu kemudiannya membuat pinjaman peribadi sebanyak RM47,000 dan apabila lulus, dia memberi kepada suspek," katanya.

Katanya, didapati sebanyak 17 transaksi pindahan wang dilakukan mangsa ke dalam akaun bank berjumlah RM112,000 kepada suspek.

Noorzainy berkata, mangsa yang kemudian menyedari sudah ditipu dia membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan lain, pesara kerajaan di Kepala Batas kerugian RM21,985 dipercayai terpedaya dengan sindiket penipuan 'Phone Scam', semalam.

Lelaki berusia 63 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa dari Bank Negara Malaysia.

"Suspek mendakwa terdapat penggunaan kad kredit milik mangsa sebelum mengarahkan dia (mangsa) memberi nombor TAC yang diterima bagi tujuan semakan pihak bank.

"Curiga dengan suspek, mangsa kemudian membuat semakan dengan bank dan mendapati kad kredit miliknya dicaj sebanyak RM21,985 yang dipindahkan ke akaun Big Pay (e-wallet)," katanya.

Menyedari ditipu, Noorzainy berkata, mangsa tampil membuat laporan di balai polis dan kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 1:04 PM