Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


TERUJA mahu menerima hadiah daripada teman lelaki kononnya berada di Paris, akhirnya membawa padah apabila ia sebenarnya adalah sindiket 'Love Scam' dan menyebabkan seorang ibu tunggal kerugian RM17,000.

Mangsa berusia 40 tahun mula berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook pada awal Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa mangsa kemudian jatuh cinta terhadap lelaki berkenaan hingga ia tidak sedar dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan.

"Suspek melemparkan kata-kata manis bahawa dia akan mengirimkan hadiah mengandungi mata wang asing, pakaian, barang kemas dan barangan kosmetik.

"Kerana terlalu percaya mangsa tidak sabar menantikan hadiah berkenaan namun dia dihubungi sebuah syarikat kurier untuk membuat servis penghantaran berjumlah RM17,000.

"Mangsa yang tidak berfikir panjang terus membuat empat traksasksi ke dalam tiga akaun yang diberikan," katanya dalam kenyataan, di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa akhirnya sedar ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan dan membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Polis berkali-kali mengingatkan kepada orang awam supaya tidak sesekali mudah terperdaya dengan janji manis individu yang baharu dikenali di laman sosial tanpa usul periksa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 10:45 AM