GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: BJAK Sdn Bhd (BJAK) berkata, mereka sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelesaikan isu perkhidmatan pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai yang tidak diluluskan agensi penguatkuasaan itu.

Syarikat itu berkata, mereka menawarkan perkhidmatan itu secara pilihan percuma dan ia adalah sebahagian daripada inisiatif swasta yang bertujuan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan tidak bergabung dengan mana-mana agensi berkaitan kerajaan.

Katanya, BJAK juga kekal komited untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan perkhidmatan yang cemerlang, melalui standard pematuhan tertinggi.

Justeru BJAK menyatakan, urus niaga akan beroperasi seperti biasa walaupun JPJ mengesahkan perkhidmatan itu tidak diluluskan.

"Ia adalah perkhidmatan pilihan untuk pelanggannya, dengan perkhidmatan utama BJAK adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kereta, serta perkhidmatan VIP khas untuk pelanggannya.

"Untuk urus niaga pembaharuan itu, BJAK turut menawarkan pilihan secara percuma untuk semua pelanggan, berbeza dengan platform lain yang biasanya mengenakan bayaran antara RM3 hingga RM11 untuk perkhidmatan berkenaan.

"Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK kini ditawarkan secara percuma, sebagai sebahagian inisiatif untuk pembaharuan yang lebih mudah dan menjimatkan kos untuk pelanggannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, JPJ dalam satu kenyataannya berkata, tindakan BJAK menguar-uarkan iklan syarikat itu melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial adalah tidak benar.

Menurutnya, JPJ memandang serius tindakan BJAK yang menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.

Katanya, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Mengulas lanjut, BJAK berkata, platformnya juga kekal tertinggi dalam review, dengan lebih 250,000 ulasan di Google.

"Semua komen juga dibalas dengan liputan 100 peratus. BJAK turut menyasarkan penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 10:48 PM