GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Disebabkan kemaruk mahukan hadiah wang dikirimkan lelaki dikenalinya di laman sosial, wanita kerugian RM57,300 diperdaya 'Love Scam.'

Mangsa dari Sungai Dua, di sini yang juga ibu tunggal berkenalan dengan lelaki yang mengaku ahli perniagaan di London sejak Disember tahun lalu melalui Facebook sebelum berhubung menerusi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas beberapa bulan menjalinkan hubungan cinta suspek berjanji untuk datang ke Malaysia.

"Pada masa sama, suspek turut mahu menghantar hadiah sebagai tanda cintanya kepada mangsa.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata manis itu langsung tidak mengesyaki bahawa dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan.

"Beberapa hari selepas itu, mangsa dihubungi individu lain yang mengaku daripada pihak kurier dan memaklumkan hadiah terpaksa ditahan di lapangan terbang oleh pihak kastam kerana menjumpai wang Amerika Syarikat yang banyak dalam hadiah terbabit dan mangsa perlu membuat bayaran pelepasan sekiranya mahukan hadiah berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang sudah teruja untuk memiliki hadiah itu kemudian membuat 10 transaksi wang ke dalam dua akaun yang diberikan secara berperingkat berjumlah RM57,300.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila individu itu masih meminta mangsa membuat bayaran dan sekiranya tidak berbuat demikian, mangsa diugut akan ditangkap oleh pihak kastam.

"Tersedar akan kesilapannya, mangsa datang membuat laporan polis semalam untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Noorzainy berkata, polis kini mengenal pasti akaun yang diberikan suspek kepada mangsa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 1:02 PM