PENGARAH JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menyampaikan peralatan  kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rumpun Makmur hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
PENGARAH JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menyampaikan peralatan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Rumpun Makmur hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Temerloh: Seramai 685 daripada 930 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri sudah menerima perlindungan insurans berkelompok, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata, baki 245 anggota lagi akan menerima perlindungan itu selepas pendaftaran pasukan mereka diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 37 PBS yang aktif di Pahang, namun pendaftaran empat lagi PBS belum diluluskan kerana terdapat masalah dari segi kewangan.

"Mengikut akta bomba yang baru, semua PBS dikehendaki mendaftar dengan JBPM bagi membolehkan kami mengawal selia aktiviti.

"Bagi memastikan PBS berfungsi dengan baik, pasukan ini akan diberi kemudahan lengkap termasuk kenderaan bagi memudahkan kerja menyelamat," katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat agung PBS Rumpun Makmur, Kuala Krau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mengulas mengenai balai bomba kelas D yang sedang dibina di pekan Kuala Krau, Wan Mohammad Zaidi, berkata, kerja pembinaan dijangka siap tahun hadapan dan akan digunakan 18 anggota PBS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:50 PM