KETUA Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid. FOTO NSTP
KETUA Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menyelaraskan semua pasukan bomba sukarela (PBS) di seluruh negara agar lebih efektif, seragam dan tersusun terutamanya ketika dari segi pengoperasian.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan melaksanakan pendaftaran PBS sejajar Rang Undang-Undang (RUU) 1568 yang diluluskan pada 2018 bagi memastikan pendaftaran pasukan sukarela itu terletak di bawah JBPM, tidak lagi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Apabila berdaftar di bawah JBPM, segala prosedur operasi standard (SOP) bomba sukarela akan digubal supaya segala respon, pengawalan insiden, segala laporan, masa tindak balas (respon time) mereka sejajar dengan SOP JBPM, dengan ini dapat memendekkan masa tindak balas mereka.

“Kalau tidak berdaftar di bawah jabatan kita, kita tidak boleh ‘lock’ masa tindak balas mereka kerana mereka masih dianggap sebagai sukarela yang belum ditauliahkan oleh JBPM.

“Sekiranya berdaftar di bawah JBPM mengikut Peraturan PBS Akta 341, maka JBPM boleh ‘lock’ masa tindak balas mereka.

“Aset mereka juga akan ditambahbaik begitu juga latihan dan perlindungan seperti insurans. Kemungkinan kita akan bawa juga isu berkaitan bayaran dan imbuhan, lebih baik dari ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Negeri di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis dan Timbalan Pengarah JBPM Selangor Penolong Pesuruhjaya Bomba Wan Md Razali Wan Ismail.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan peraturan itu.

“Apabila diluluskan di bawah undang-undang, ada klausa tertentu melindungi PBS dan pegawai bombanya. Sekarang bukan mereka tidak dilindungi tetapi mereka dalam tempoh peralihan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat senbanyak 502 PBS di seluruh negara berdaftar di bawah ROS.

Mengulas mengenai majlis itu, katanya, seramai 33 pegawai menerima Pingat Kebesaran Jabatan antaranya Wan Md Razali yang dianugerahkan Pingat Jasa Bomba manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang Zaidi Ahtan dianugerahkan Pingat Setia Bomba.

Bagi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pula, seramai 121 penerima termasuk Ketua BBP Sungai Pinang, Bonny Martin Saging Mato dan Ketua BBP Kapar, Yazli Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:49 PM