Asrol Awang


Kuantan: Seramai 973 anggota daripada 34 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Pahang bersiap sedia membantu operasi menyelamat ketika menghadapi Monsun Timur Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, setakat ini, 34 PBS yang berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang turut dibekalkan kenderaan dan peralatan.

Katanya, semua anggota berkenaan turut diberikan latihan bagi melaksanakan tugas dalam operasi kebombaan dengan lebih berkesan.

"Sebenarnya pasukan ini berada dalam komuniti dan sekiranya berlaku sebarang kejadian, mereka akan memberikan segala maklumat dan menjalankan operasi lebih awal sementara menunggu kehadiran anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

"Oleh itu, kita mengharapkan pasukan ini dapat menjalankan tugas mereka dengan baik apabila berlaku kes di kawasan mereka," katanya.

Abd Rahim berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kesiapsagaan Monsun Timur Laut dan Penyerahan Geran PBS di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sejumlah RM102,000 diperuntukkan JBPM kepada 34 PBS iaitu masing-masing menerima RM3,000 setiap PBS.

Mengulas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di Pahang, Abd Rahim berkata, semua agensi sudah bersiap sedia menghadapi monsun berkenaan.

Katanya, tumpuan bukan sahaja di kawasan berisiko, sebaliknya semua kawasan untuk memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila berlakunya banjir.

"Bagi mengelak berlakunya banjir kilat, semua sistem perparitan sudah diarah dibersihkan membabitkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya (JKR)

"Kita percaya tindakan itu dapat mengelakkan masalah banjir kilat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 3:49 PM