Khairulmizan Yahya


Kuantan: Mangsa banjir boleh memohon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang jika memerlukan bantuan untuk membersihkan kediaman mereka yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, arahan berkaitan sudah dikeluarkan kepada semua balai bomba dan penyelamat (BBP) negeri.

"Oleh kerana banjir di Pahang kali ini tidak (berlaku) secara menyeluruh, jadi saya sudah maklumkan kepada mereka (pegawai dan anggota bomba) untuk memberikan bantuan jika kawasan terbabit sudah tidak lagi berisiko," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada penduduk terjejas banjir di Chendor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.

Mengenai program terbabit, Dr Wan Mohammad berkata, seramai 30 mangsa banjir di sekitar Sundai Ular, Cherating dan Chendor, di sini, akan menerima bantuan berkenaan.

Wan Mohammad Zaidi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Chendor, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
Wan Mohammad Zaidi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Chendor, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya

"Kita mengagihkan bantuan berkenaan di PPS di kawasan berkenaan selain turut diagihkan ke rumah mangsa yang sudah pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, Zulkahairi berkata, JKM menyertai program terbabit bagi membolehkan pihaknya melihat bantuan kepada mangsa banjir daripada aspek lain.

"Sebagai contoh, kita akan melihat sama ada mangsa banjir itu memerlukan atau layak mendapat bantuan bulanan atau kerusi roda melalui peruntukan JKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 3:17 PM