DATUK Hasni Mohammad (tengah) bersama  Setiausaha Kerajaan Johor,  Datuk Azmi Rohani (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali bergambar sebelum memulakan pembentangan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. FOTO Ihsan PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR
DATUK Hasni Mohammad (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali bergambar sebelum memulakan pembentangan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. FOTO Ihsan PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Bagi menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan di negeri ini, kerajaan negeri buat pertama kalinya akan menyalurkan bantuan tunai secara one off sebanyak RM200.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad, berkata bantuan berkenaan membabitkan 30,000 individu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6 juta.

"Bukan itu sahaja, ada banyak perkhabaran baik yang lain termasuk Bantuan Am Negeri akan dinaikkan dari RM200 ke RM 300 sebulan kepada seramai 5,700 penerima di bawah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

"Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan turut berperanan dalam agenda Johor Berkebajikan dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM152.1 juta termasuk bagi bantuan sara hidup bulanan golongan asnaf.

"Berikutan keluhan dari masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, MAINJ juga akan menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM200 kepada 17,000 individu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan golongan yang memerlukan bantuan terutama program COMB (Cari Orang Memerlukan Bantuan).

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada masyarakat miskin bandar, luar bandar, FELDA, ladang dan kawasan pedalaman di Johor.

"Dalam usaha meringankan kesusahan masyarakat yang memerlukan, kerajaan Johor akan melaksanakan inisiatif Bantuan Bank Makanan kepada golongan miskin bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11 juta.

"Pada masa yang sama, Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 Negeri Johor akan diteruskan.

"Ini program Kerajaan yang lalu, yang kita rasakan satu perkara baik dan akan diteruskan. Seramai 200,000 isi rumah dianggarkan menerima manfaat daripada skim ini," katanya.

Beliau berkata, bagi penggiat industri pelancongan pula, mereka akan menerima insentif dengan jumlah sebanyak RM5 juta.

"Ia termasuk pemberian insentif one-off RM1,000 kepada pemandu pelancong yang berdaftar di Johor.

"Pemberian bantuan insentif one-off kepada 16 persatuan pelancongan negeri dan daerah dengan peruntukan sebanyak RM320,000 juga disediakan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 12:58 PM