R Thiagarajan
R Thiagarajan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Agenda Johor Berkebajikan yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor tahun lalu ternyata memberi suntikan baharu kepada pengusaha bas sekolah.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R Thiagarajan berkata, biarpun jumlah diberikan secara 'one off' agak sedikit berbanding beban ditanggung lebih 2,000 pengusaha bas sekolah namun ia mampu mengurangkan bebanan mereka untuk menanggung keluarga.

"Kita sebagai pengusaha bas sekolah sangat bersyukur dengan bantuan diberikan kerajaan negeri secara 'one off' sebanyak RM500.

"Bantuan itu menandakan ada pihak yang memandang kesusahan dan keperitan ditanggung pengusaha bas sekolah ketika pandemik Covid-19," katanya yang juga Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM).

Menerusi inisiatif ini, seramai 2,071 pengusaha bas sekolah berdaftar menerima RM500 secara 'one off' membabitkan nilai peruntukan RM1 juta.

Agenda Johor Berkebajikan memberi kelegaan langsung kepada rakyat Johor dalam mengharungi kehidupan khususnya dalam krisis Covid-19.

Ia adalah satu intervensi dan bantuan segera kepada golongan yang begitu terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.

Thiagarajan berkata, kesan pandemik amat besar kepada golongan sepertinya, malah ramai daripada pemandu bas terpaksa menjual aset mereka bagi kelangsungan hidup keluarga, selain ada yang terpaksa menamatkan operasi kerana terbeban.

"Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan dan ditambahbaik bagi meringankan bebanan kami. Saya mencadangkan agar bantuan ini diberi secara enam bulan sekali. Disarankan juga agar nilai ditambah berikutan peningkatan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Selain bantuan untuk pengusaha bas sekolah, pemberian wang tunai 'one off' sebanyak RM500 kepada 5,205 pemilik teksi, teksi limosin dan teksi lapangan terbang membabitkan peruntukan RM2.60 juta.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Teksi Kulai dan Senai, Wahib Mohd Yasin, berkata bantuan yang diberikan RM500 kepada pengusaha teksi amat membantu menampung kehidupan ahli.

"Sangat membantu dengan RM500 biarpun jumlah itu tidak mampu menampung keperluan kenderaan dengan pembayaran insurans dan sebagainya tetapi boleh membantu dari segi keperluan kami sekeluarga.

"Saya sendiri telah menjual teksi kerana kos tinggi dan tidak mampu untuk meneruskan operasi. Sekarang ini saya hanya membawa teksi rakan-rakan sekiranya ada kekosongan bagi mencari rezeki.

"Saya berharap bantuan ini diteruskan dalam satu tempoh tertentu. Supaya kami pemandu teksi ini dapat bertahan. Sekarang ini hendak mencari RM30 sehari pun susah," katanya.

Dalam Agenda Johor Berkebajikan, pemberian wang tunai 'one off' sebanyak RM300 selama dua bulan juga diberikan kepada 26,626 penerima dari senarai e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan peruntukan RM15.98 juta.

Turut diberikan wang tunai 'one off' sebanyak RM500 kepada 47,159 penyewa premis, pasar awam, peniaga pasar malam dan peniaga pasar tani yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor dengan jumlah peruntukan RM23.58 juta.

Selain itu, pemberian wang tunai 'one off' sebanyak RM150 kepada 35,000 Mahasiswa Anak Johor daripada keluarga B40 dengan jumlah peruntukan adalah RM5.2 juta.

Juga tidak ketinggalan pemberian insentif bantuan one-off sebanyak RM100 kepada 20,000 pemandu dan penghantar makanan syarikat e-hailing yang berdaftar di negeri ini, membabitkan peruntukan adalah RM2 juta.

Dari sudut kebajikan pelajar juga, pemberian wang tunai 'one off' sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah berasal dari keluarga berpendapatan RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, membabitkan peruntukan sebanyak RM18.94 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 3:44 PM