Foto hiasan
Foto hiasan
Roselan Ab Malek

PAHANG menyediakan insentif khas untuk perkahwinan kali pertama sebanyak RM200 bagi pengantin lelaki berpendapatan RM5,000 dan ke bawah mulai tahun ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosfy Wan Ismail berkata, insentif itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan dan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan khas one-off kepada golongan miskin termasuk ibu tunggal dan warga emas yang dalam kategori miskin sebanyak RM300.

“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 25,000 golongan miskin di Pahang dengan kos keseluruhan sebanyak RM7.5 juta.

“Kita juga menyediakan bayaran khas one-off kepada setiap 542 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di Pahang sebanyak RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM2.71 juta,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Penduduk Benta di Dewan Balora Benta, Lipis hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan kepada keadaan kewangan yang bertambah baik hasil daripada usaha meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisani, kerajaan negeri akan melaksanakan tujuh projek dan program khas pada tahun ini.

Katanya, projek khas itu akan memberi kesan langsung kepada rakyat negeri Pahang.

“Ini menepati prinsip kerajaan negeri untuk memulangkan kembali faedah dan manfaat kepada rakyat daripada hasil yang diperoleh,” katanya.

Wan Rosfy juga berkata, kerajaan negeri menyediakan bayaran khas one-off kepada imam masjid kariah sebanyak RM1,000.

Menurutnya, ia akan memberi manfaat kepada hampir 1,036 imam masjid kariah di seluruh negeri dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.036 juta.

“Selain itu, kita turut membina projek takungan air di Lipis bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air dengan anggaran kos antara RM10 hingga RM12 juta.

"Dalam masa yang sama, sebanyak 84 unit rumah untuk rakyat akan dibina dengan anggaran kos keseluruhan RM5 juta.

“Kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk pelaksanaan Skim Perumahan Rakyat bagi golongan B40," katanya.

Wan Rosfy berkata, kerajaan negeri juga memperkenalkan kad kesihatan khas kepada warga emas dengan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 7:22 PM