Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan negeri mengesyorkan perintah darurat dilaksanakan di Parlimen Gerik seperti mana Parlimen Batu Sapi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia adalah langkah paling sesuai dan tepat dalam memberi fokus kepada mengatasi pandemik Covid-19 berbanding memberi keutamaan kepada politik.

"Saya langsung tidak pernah memikirkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

"Apa yang pentingnya sekarang, kita sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang semakin membarah, perihal politik ini sebenarnya tidak menjadi keutamaan bagi diri saya secara peribadi," katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Projek Khas Tani Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

PEMAIN hoki negara (jersi kuning) bersaing mendapatkan bola dengan pemain New Zealand.  FOTO FIH
PEMAIN hoki negara (jersi kuning) bersaing mendapatkan bola dengan pemain New Zealand. FOTO FIH

Ahmad Faizal berkata, jika mengikut undang-undang, perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas notis kekosongan kerusi parlimen diisytiharkan.

"Mengambil pengajaran daripada titah Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama (darurat) boleh diadakan di Gerik," katanya.

Semalam, portal MyMetro melaporkan, Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengisytiharkan proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung Covid-19.

Terdahulu, Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, pemberitahuan itu selaras Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman pada Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 2:47 PM