DR ZAINI HUSSIN
DR ZAINI HUSSIN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kumulatif kes denggi di Kelantan bermula Januari sehingga 30 Oktober tahun ini menunjukkan penurunan 26.68 peratus iaitu 3,768 kes berbanding 5,139 bagi tempoh sama, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang tempoh itu, enam kematian dicatatkan dengan 356 episod wabak dan jumlahnya sama dengan kematian pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes denggi dijangka meningkat sekiranya masyarakat tidak peduli untuk memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Sehingga kini, hasil pemeriksaan pasukan kesihatan amat mengecewakan kerana terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes ditemui di sekitar dalam dan luar rumah penduduk.

"Hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 338,136 premis atau rumah kediaman didapati 14,670 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik dan JKNK mengeluarkan 2,492 kompaun dicadang dengan nilai lebih RM1.2 juta," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Zaini berkata, JKNK memandang serius serta menyeru seluruh lapisan masyarakat supaya segera membuat pemeriksaan sendiri di persekitaran kediaman atau premis masing-masing dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata, mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes, kompaun maksimum RM500 akan dikeluarkan (tidak dibenarkan untuk rayuan pengurangan).

"Sebanyak 797 Notis Seksyen 8 sudah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai disarankan meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan bekas berpotensi sebagai pembiakan aedes di dalam dan luar kawasan rumah," katanya.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan menggunakan ubat pemusnah jentik-jentik (abate) di dalam bekas takungan air serta menggunakan penyembur ubat nyamuk aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah selain memasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.

Menurutnya, seluruh masyarakat terutama di sekitar kawasan wabak diharapkan sentiasa mengambil berat terhadap kebersihan sekeliling dengan menjadikannya sebagai tanggungjawab bersama agar demam denggi dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 2:35 PM