GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Penduduk dikesan sukar memberi kerjasama untuk membenarkan premis kediaman mereka dimasuki bagi dibuat pemeriksaan tempat pembiakan Aedes.

Ia sekali gus menyukarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) membuat pemantauan dan pemeriksaan menerusi Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI).

Pengarahnya, Dr Aman Rabu berkata, masyarakat harus memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus, terutama di kawasan kes denggi.

"Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, mereka akan dikompaun sebanyak RM500, sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehingga kini, sebanyak 49 OPPI sudah dilaksanakan di seluruh Johor. OPPI adalah satu aktiviti utama yang dijalankan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 untuk memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggungjawab menghentikan penularan denggi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Aman berkata, sebanyak 1,507 premis diperiksa JKNJ dalam OPPI yang dijalankan hari ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20 (1.3%) premis mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

"Di persekitaran awam pula, sebanyak 25 tempat pembiakan ditemui di antaranya di bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar, manakala sebanyak 1,461 bekas yang berpotensi untuk pembiakan turut dijumpai," katanya.

Dr Aman berkata, sehingga 30 September lalu, sebanyak 9,396 kes denggi dilaporkan dengan 35 kematian.

Katanya, sejak Kempen Johor Perangi Denggi dilancarkan pada 23 Ogos lalu, bilangan kes denggi menunjukkan tren penurunan.

"Bilangan kes denggi di Johor menunjukkan tren penurunan dengan 261 kes pada minggu Epid 39 berbanding 279 kes pada minggu 38," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 2:01 PM