Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 351 kes demam denggi dilaporkan di Pahang dari 1 Januari hingga 15 April lalu berbanding 115 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 236 kes pada tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sehingga kini.

"Daerah Kuantan merekodkan demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 198 kes atau 56.4 peratus, Raub 28 kes (8 peratus), Temerloh 25 kes (7.1 peratus), Bera 24 kes (6.8 peratus) dan Bentong 19 kes (5.4 peratus).

"Maran merekodkan 18 kes (5.1 peratus), Rompin 14 kes (4 peratus), Lipis 10 kes (2.8 peratus), Pekan enam kes (1.7 peratus), Jerantut lima kes (1.4 peratus) dan Cameron Highlands empat kes (1.1 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga 15 April lalu, daripada 747,237 bekas yang diperiksa, sebanyak 1,338 bekas mengandungi jentik-jentik nyamuk Aedes.

"Semua bekas ini diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik atau dilupuskan.

"Di samping itu, sebanyak 104,607 premis yang berpotensi membiak jentik-jentik nyamuk Aedes juga diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

"Manakala, sebanyak 126,371 premis dibuat semburan kabus bagi membunuh nyamuk dewasa," katanya.

Bagi mencegah peningkatan berterusan kes dan wabak demam denggi, beliau meminta semua individu melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat yang boleh menakung air dan berpotensi pembiakan nyamuk Aedes sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 11:54 AM