MUHYIDDIN (kanan) mengikuti Mesyuarat IRDA secara maya semalam.
MUHYIDDIN (kanan) mengikuti Mesyuarat IRDA secara maya semalam.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan pembangunan ekonomi di Iskandar Malaysia yang terus memberi manfaat kepada rakyat di wilayah ekonomi itu.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, pembangunan di Iskandar Malaysia menyokong lebih banyak inisiatif tambahan dan faedah bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat.

Katanya, sebagai koridor pembangunan, Iskandar Malaysia menunjukkan pencapaian cemerlang dalam menarik pelaburan sejak penubuhannya sehingga kini.

"Bagaimanapun, saya lebih teruja untuk melihat koridor ekonomi ini terus melaksanakan lebih banyak inisiatif rakyat bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan sekali gus dapat membina masyarakat yang kental, berdaya tahan dan padu dalam mengharungi pembangunan pesat dan pantas di koridor ekonomi ini.

"Saya percaya ahli IRDA yang lain sependapat dengan saya berhubung agenda berasaskan rakyat dalam Iskandar Malaysia serta menyokong kesemua inisiatif yang dicadangkan bagi membantu Rakyat, terutama pada ketika dan selepas pandemik Covid-19," katanya selepas mengikuti Mesyuarat Pihak Berkuasa IRDA secara maya, semalam.

Iskandar Malaysia mencatatkan lebih 750,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama dengan jumlah pelaburan kumulatif keseluruhan mencecah RM322.1 bilion daripada 2006 sehingga Jun 2020.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, perkongsian kekayaan dan agenda keterangkuman Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia Kedua (CDPii) bermatlamat untuk mencapai perkongsian kekayaan secara adil dan saksama kepada seluruh masyarakat di Iskandar Malaysia.

"Aspek penting dalam memastikan agenda ini dapat dilaksana secara mampan adalah memastikan ekosistem dapat menggalakkan jalinan sosial bagi membantu penyertaan masyarakat dalam proses membuat keputusan dan melaksana inisiatif yang berasaskan tempatan," katanya.

Cadangan utama yang dikemukakan ketika mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa IRDA adalah menganjurkan usaha pengumpulan data melalui organisasi masyarakat awam (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memanfaat teknologi.

Menerusi data diperoleh itu serta memanfaat teknologi bagi menganalisis data berkenaan akan membantu pihak berkuasa dan rakan kerjasama lain dalam Iskandar Malaysia mengemukakan cadangan lebih efektif, penyelesaian berasaskan pembuktian serta inisiatif bagi kesejahteraan hidup rakyat.

Cadangan lain adalah inisiatif bagi memperkasa kemahiran dan kecekapan institusi kepimpinan berasas masyarakat.

Cadangan seterusnya adalah menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh kerajaan dengan memasukkan modul pembelajaran literasi kewangan dalam semua program pemerkasaan sedia ada.

#kw Iskandar Malaysia, IRDA, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:27 PM