FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) percaya dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion disediakan dalam Belanjawan 2022 bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, dapat dimanfaatkan Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, ia khususnya bagi melengkapkan rantaian nilai industri serta memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Katanya, bagi memperkasa daya pemulihan ekonomi negara, Bajet 2022 turut memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui misi perdagangan dan pelaburan.

"IRDA juga menyambut baik pembukaan sebuah pusat sehenti di negeri ini tahun hadapan bagi pelawat perniagaan jangka pendek dari Singapura dengan kos RM10 juta, yang mana usaha ini mampu menyediakan kemudahan kepada pelawat dan perniagaan dan pelabur dari negara jiran itu.

"IRDA juga teruja berikutan komitmen menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

"Komitmen ini memerlukan negara untuk memacu pembaharuan supaya pertumbuhan kekal mampan dan berdaya saing di pasaran global.

"Sesungguhnya, inisiatif ini telah dimulakan di Iskandar Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk Masyarakat Rendah Karbon menerusi kerjasama erat pihak berkuasa tempatan (PBT) selaras dengan matlamat yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Sosial (SDG)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu itu menyediakan sejumlah RM332.1 bilion yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet sebelum ini.

Ia menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Sebahagian besar peruntukan bagi pelaksanaan program pembangunan sosial Iskandar Malaysia adalah menerusi peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC).

Dalam pada itu, Ismail berkata, Iskandar Malaysia amat menghargai dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan bantuan menerusi Bajet 2022 untuk pelbagai projek, program dan inisiatif pembangunan sosial, insaniah dan infrastruktur yang terus dapat digerak bagi manfaat rakyat di wilayah ekonomi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:13 PM