Hasni Mohammad.
Hasni Mohammad.
Oleh Mohamed Farid Noh


KULAI Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Sedenak dekat sini, yang bakal beroperasi pada 2023 dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, pelaburan tempatan dan asing menerusi syarikat khususnya berkaitan pengurusan data serta perkomputeran itu akan turut menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir juga sokongan.

Menurut beliau, KIDEX yang dibangunkan di tapak seluas 301.491 hektar itu dimajukan oleh TPM Technopark Sdn Bhd (TPM Technopark), sebuah syarikat milik Johor Corporation dan projek ini mampu menjadi katalis pertumbuhan

industri data seterusnya mengangkat Sedenak sebagai hab pusat data serantau pada masa depan.

"Dalam taklimat semasa lawatan saya ke KIDEX baru-baru ini, sasaran pelabur adalah dalam kalangan pengusaha industri berkaitan pusat data, perkomputeran awan (cloud computing).

"KIDEX adalah komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park (KIP) yang membabitkan kawasan seluas 2950.158 hektar yang juga hab data terkini di Malaysia dan dijangka menarik pelabur Revolusi Industri 4.0.

"Pembangunan yang bercirikan kemampanan dan kelestarian ini akan mempunyai tenaga mesra alam melalui Ladang Solar (Solar Farm) dan Loji Penghasilan Bersama (Co-generation Plant) sebagai sumber tenaga yang lestari," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, KIDEX berjaya menarik minat pelabur dalam dan luar negara seperti China, United Kingdom (UK) dan Jepun yang sudah pun membuat tinjauan tapak.

"KIDEX turut mempunyai kelebihan daripada segi sokongan logistik dan perhubungan yang cekap seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selain kedudukan strategik Johor sebagai jiran Singapura.

"Pada lawatan itu, saya turut diberi taklimat oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang memaklumkan bahawa KIDEX adalah satu daripada inisiatif bagi merealisasikan

agenda pembangunan fizikal Bandaraya Pintar Iskandar Malaysia (BPIM).

"BPIM membabitkan enam dimensi iaitu Tadbir Urus Pintar, Rakyat Pintar, Mobiliti Pintar, Alam Sekitar Pintar, Ekonomi Pintar dan Kehidupan Pintar," katanya.

Beliau berkata, infrastruktur perhubungan data yang kuat dan stabil sudah pasti akan memberi faedah kepada semua pemegang taruh di koridor ekonomi Iskandar Malaysia - kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat.

"Menurut IRDA, usaha ini bukan sahaja dapat membantu mencapai wawasan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan malah merancakkan lagi agenda Digital Johor di peringkat negeri dan Rancangan Pembangunan Sistem Gentian dan

Perhubungan di peringkat nasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 5:34 PM