ISMAIL (dua dari kiri) bertukar MoU dengan  Ahmad 'Asri (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Fadillah.
ISMAIL (dua dari kiri) bertukar MoU dengan Ahmad 'Asri (dua dari kanan) sambil diperhatikan Mohd Fadillah.
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Demi meningkatkan produktiviti dan kelestarian projek pembinaan dalam kawasan Iskandar Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU), semalam.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, MoU berkenaan bagi memastikan komitmen IRDA dalam menerapkan penggunaan Sistem Industri Bangunan (IBS) dan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Beliau berkata, IRDA merupakan antara pihak berkuasa pembangunan tempatan terawal memeterai MoU itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perbadanan Petaling Jaya (MPPJ).

Menurutnya, MoU berkenaan selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap pemaju projek pembinaan dalam negara menggunakan teknologi IBS menjelang 2020.

“Kerajaan memang mewajibkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi projek pembinaan swasta yang melebihi RM50 juta.

“Penggunaan IBS mampu meningkatkan produktiviti projek pembinaan dan selari dengan matlamat penggunaan teknologi hijau.

“Malah, ia juga mampu mengoptimumkan sumber dan kepakaran yang ada untuk meningkatkan daya saing dan menjimatkan kos berbanding kaedah konvensional digunakan dalam sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani MoU antara CIDB dan IRDA di Hotel Phoenix.

Hadir sama Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Fadillah Yusof berkata, pada masa sama, kementerian itu juga akan meningkatkan jalinan kerjasama dengan lebih banyak pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi tempatan pada masa depan dalam usaha menggalakkan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan. “Kita sedang berunding dengan kerajaan negeri Melaka, Perlis dan seterusnya pihak Koridor Pantai Timur, Wilayah Pembangunan Koridor Utara dan Koridor Pertumbuhan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 6:18 AM