ISMAIL (dua dari kanan) menyerahkan jaket tajaan kepada wakil sukarelawan IMSHA, Yvonne Loh.
ISMAIL (dua dari kanan) menyerahkan jaket tajaan kepada wakil sukarelawan IMSHA, Yvonne Loh.
Mahaizura Abd Malik


Iskandar Puteri: Kira-kira 4,500 individu termasuk mereka yang terjejas akibat Covid-19 meraih manfaat menerusi pelbagai inisiatif dan program pembangunan sosial Iskandar Malaysia yang digerakkan sejak Januari lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, inisiatif dan program pembangunan sosial Iskandar Malaysia dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara berfokus untuk memastikan rakyat terutama dalam kawasan wilayah pembangunan ekonomi itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Secara keseluruhan sasaran semua program pembangunan sosial Iskandar Malaysia membabitkan peruntukan RM25 juta yang dilaksanakan dari Januari lalu hingga suku pertama tahun 2022 akan memberi manfaat secara langsung kepada 4,500 peserta.

"Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah peruntukan daripada Kumpulan Wang Covid-19 (KWC) Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) untuk perlaksanaan pelbagai program kesejahteraan rakyat berdasarkan kejayaan perlaksanaan program tahun lalu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sosial Iskandar Malaysia (SDC) Kali Ke-14 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, Kota Iskandar, semalam.

Sempena mesyuarat itu Hasni turut melancarkan Buku Laporan Anugerah Wira Sosial Iskandar

Malaysia (IMSHA) dan menyaksikan penyerahan jaket tajaan IYHSB, anak syarikat Irda kepada sukarelawan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) IMSHA.

Turut hadir Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim dan wakil IMSHA, Yvonne Loh.

Hasni berkata, antara program yang sudah memanfaatkan rakyat ialah Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) yang menawarkan 1,811 peluang pekerjaan daripada 252 syarikat.

"Sebanyak 70 peratus daripadanya diisi golongan Wanita serta golongan orang kurang upaya (OKU), pesara, mereka yang diberhentikan kerja dan graduan menganggur.

"Selain itu, program pembangunan kapasiti masyarakat membabitkan 29 kursus dan latihan dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, kemahiran berkomunikasi, kaedah pemasaran dalam talian memberi manfaat kepada 1,000 peserta belia, wanita, NGO dan pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dan penghulu," katanya.

Katanya, Program Penambahbaikan dan Pemerkasaan Kampung Tradisi Iskandar Malaysia (VEEP) membelanjakan sebanyak RM400,000 bagi projek sosioekonomi kampung yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Peruntukan RM500,000 turut disediakan khusus untuk pemasaran produk dan melatih penduduk kampung dan ahli lembaga koperasi dalam bidang perniagaan.

"IM Rent dicetus bagi membantu peniaga kecil melalui geran padanan pembayaran sewa dan memberi manfaat kepada 114 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala Program IM Start menyediakan geran permulaan perniagaan secara dalam talian sebanyak RM10,000 kepada 200 individu untuk memulakan perniagaan.

"Seramai 140 orang meraih manfaat menerusi Inisiatif Kebun Bandar (Imurfarm) membabitkan lapan projek Kebun Komuniti bernilai RM576,000.

"Selain itu, Program Kesejahteraan dan Kebajikan Golongan Rentan dan Golongan Minoriti (IM Makmur) berjaya membantu lebih 600 peserta kalangan ibu tunggal, anak yatim dan golongan B40," katanya.

Menurutnya, inisiatif baharu turut dirancang membabitkan bantuan kelas intensif bagi pelajar yang keluarganya dalam kategori berpendapatan rendah dan keciciran ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat ketiadaan peranti.

"Program ini bagi menyokong pemberian peranti dari kerajaan Johor menerusi Ihsan Johor 3.0 membabitkan hampir 8,000 pelajar.

"Selain itu, Irda ídan rakan strategik, Think City Johor Bahru juga bercadang menggerakkan inisiatif peremajaan dan pemulihan ekonomi Bandaraya Johor Bahru melalui Kesenian Budaya dan Warisan bagi menghidupkan semula aktiviti di pusat bandar raya Johor Bahru terutama selepas siapnya projek pengindahan dan landskap Sungai Segget.

"Bantuan berupa geran dalam tiga komponen membabitkan Pengisian Warisan, Penjanaan

Semula Ruang dan program komuniti dengan peruntukan RM1 juta," katanya.

Katanya, pelaksanaan Geran Usahawan Belia Iskandar Malaysia (IMYES) dan Program Pembangunan Belia Berkemahiran Iskandar Malaysia (IMSKILL) bernilai RM1.5 juta juga bakal memberi manfaat kepada 200 belia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:58 AM