BEBERAPA pihak melihat berhampiran SK Kampung Gelam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
BEBERAPA pihak melihat berhampiran SK Kampung Gelam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Hasrat nelayan menjala ikan terencat apabila melihat air laut seperti ada tumpahan minyak.

Kejadian disedari 2 petang semalam di pantai Kilometer 1, Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam.

Bagi memuaskan hati, nelayan yang hanya mahu dikenali dengan nama Mat Isa Mat Hassan, 64, berkata, dia cuba menyiasat punca minyak berwarna hitam yang mengalir ke laut .

"Pada mulanya saya sangkakan ada pencemaran atau orang membuang sisa toksik tetapi melihat minyak itu muncul dari celah tanah yang dipenuhi rumput dan terus mengalir ke longkang.

"Saya memberitahu beberapa kawan dan mereka maklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi yang datang dan nampak kesan ada 'minyak mentah' disekitar kawasan SK Kampung Gelam berhampiran jalan utama arah ke bandar Port Dickson," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, ADUN SriTanjung, Datuk M Ravi menghubungi pihak berkaitan termasuk maklumkan kepadanya sebagai exco Alam Sekitar.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) tiba di lokasi kejadian diikuti bomba dan sebagai langkah awal pihak TNB telah pasang 'oil bom' dibeberapa lokasi dalam longkang bagi mengawal minyak terus mengalir masuk ke laut.

"Kerja-kerja ini dibantu pasukan bomba semasa saya berada di lokasi untuk melihat keadaan.

"Sejurus kemudian pihak yang lain yang ada kepentingan turut turun ke lokasi untuk mencari penyelesaian ke atas isu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia sudah dimaklumkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan perkara ini dan mereka tiba ke lokasi mengambil sampel.

"Pihak RELA tiba untuk jaga lalulintas dengan bantuan polis untuk menjaga keselamatan termasuk semua syarikat yang berkaitan hasil minyak memberikan berkerjasama untuk mengekang daripada minyak mengalir masuk ke laut tanpa mengira punca.

"Semangat kerjasama ditunjukkan semua pihak dan tindakan pantas semua pihak untuk mengawal keadaan di lokasi memudahkan kerja yang berterusan untuk mengesan punca termasuk mengali dan mencari 'pipeline' yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 12:11 PM