KERJA pembaikan dan pembersihan kebocoran paip minyak. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KERJA pembaikan dan pembersihan kebocoran paip minyak. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kejadian tumpahan minyak yang meresap dari tanah kemudian mengalir ke longkang yang menghala ke laut, Ahad lalu, dikenal pasti adalah saluran paip kepunyaan sebuah syarikat minyak yang dipercayai bocor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, lokasi tumpahan minyak itu berlaku di Kilometer 1, Jalan Seremban - Port Dickson berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam.

"Kita kenal pasti ia adalah paip kepunyaan syarikat minyak yang disyaki bocor akibat kerja menggali dan memasang longkang 'u-shape'.

"Kerja pembaikan sudah dilaksanakan dan dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, saluran paip itu tidak digunakan lagi dan kerja membersihkan sisa minyak yang masih ada dalam paip dilakukan.

"Tanah yang tercemar akan diganti serta ditutup dengan pasir dan kerja pembersihan hampir siap. "Saya jangka siap pada hari ini sepenuhnya," katanya.

Kelmarin, MyMetro melaporkan kejadian tumpahan minyak itu disedari seorang nelayan ketika mahu menjala ikan apabila melihat keadaan air laut.

Nelayan itu kemudiannya memberitahu beberapa kawan dan maklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Datuk M Ravi yang datang dan nampak kesan ada 'minyak mentah' di sekitar SK Kampung Gelam berhampiran jalan utama arah ke bandar Port Dickson.

Berita berkaitan

Nampak minyak dari celah tanah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 2:31 PM