Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua rakan nyaris maut apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik ke dalam longkang.

Ketua Balai Bomba Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, dalam kejadian di Kilometer 24.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson itu, kereta Perodua Myvi itu terlebih dahulu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di dalam longkang di tepi lebuh raya.

"Pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson menerima panggilan sekitar jam 7 pagi berhubung kemalangan itu. Ketika tiba, terdapat dua orang mangsa iaitu lelaki dan wanita berusia anggaran 20-an terperangkap dalam kenderaan yang terbalik itu.

"Wanita itu cedera ringan manakala lelaki tersebut cedera di bahagian kepala dan tersepit dalam kenderaan. Bagaimanapun kedua-duanya berjaya dikeluarkan," katanya.

Mohd Hairul berkata mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 2:30 PM