RAKAMAN gambar tular sejak pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN gambar tular sejak pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Air berwarna merah yang mengalir ke tasik dekat Taman Tasik Seremban, di sini, yang dirakam dan tular sejak pagi tadi sebenarnya adalah air sirap dari sebuah dewan yang mengadakan majlis kenduri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, dapatan itu hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di lokasi yang dimaksudkan.

"JAS Negeri Sembilan menjalankan siasatan berikutan aduan air berwarna merah di Taman Tasik Seremban. JAS menghantar pasukan ke lokasi kejadian dan pegawai penyiasat menyusuri longkang yang ada berpandukan kepada video aduan.

"Hasil siasatan mendapati air berwarna merah terbabit adalah air basuhan sisa makanan dan minuman berpunca dari pihak katering yang menyediakan perkhidmatan di Dewan Pekerti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika lawatan JAS, premis itu tidak beroperasi dan sedang menjalankan kerja pembersihan.

"Siasatan lanjut mendapati air berwarna merah adalah berpunca dari kerja pembersihan tong kordial air minuman sirap.

"Hasil temuramah bersama pekerja syarikat katering terbabit, pegawai penyiasat JAS diberitahu bahawa sebelum ini, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pernah membuat pemeriksaan di premis berikutan aduan pelepasan minyak ke dalam longkang.

"Pihak katering sudah membuat penambahbaikan dengan memasang perangkap minyak. JAS memanjangkan aduan dan hasil siasatan yang dilakukan kepada pihak MBS untuk tindakan lanjut," katanya.

Pagi tadi tular di laman sosial satu klip video yang memaparkan air berwarna merah mengalir di dalam longkang dan dipercayai berlaku di Taman Tasik Seremban.

Bagaimanapun, di dalam rakaman berdurasi 30 saat itu tidak menyatakan punca kejadian itu berlaku dan andaian awal adalah disebabkan pencemaran air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:55 PM