ISMAIL Sabri ketika sidang media di Sandakan hari ini. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
ISMAIL Sabri ketika sidang media di Sandakan hari ini. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan : "Belum tahu lagi," itu jawapan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab khabar angin dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Beliau berkata, semua pihak diminta bertenang dan tidak mendengar khabar angin yang tidak sah.

"Belum tahu lagilah tapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau setiap masa (penularan Covid-19) khususnya di Tawau, di Lahad Datu dan di Semporna.

"Jadi kalau ada apa-apa pengumuman, akan diumumkan oleh saya sendiri dan tolong jangan dengar khabar angin," katanya dalam sidang media sempena Program Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Sandakan, hari ini.

Terdahulu, ada khabar angin mengatakan PKP akan dilaksanakan di Sabah selepas PRN Sabah.

Dalam pada itu beliau mengingatkan kepada semua pengundi dan petugas di markas parti politik esok mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pengundi esok, terutama di kawasan yang agak tinggi risiko tolong buat kawalan kendiri untuk menjaga diri.

"SOP sudah dikeluarkan oleh SPR, jadi esok kalau boleh keluar mengikut waktu yang ditetapkan… sebab nak mengelak berlaku kesesakan," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua individu yang baru pulang dari Sabah agar menjalani ujian calitan (swab) sebelum pulang ke rumah.

"Ini untuk menjaga kepentingan dan keselamatan keluarga anda. Macam-macam boleh berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 9:51 PM