Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Industri pembinaan Malaysia mengalami kerugian bernilai RM11.6 bilion ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan kedua dilaksanakan pada 18 Mac hingga 14 April lalu akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, namun, nilai kerugian ini menurun kepada RM6.9 bilion selepas pembukaan 13 sub sektor industri pembinaan.

Menurutnya, penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini memberi impak kepada sektor pembinaan dan negara ini tidak terkecuali.

"Beberapa impak ketara membabitkan isu kewangan, penyampaian projek dan kekangan tenaga kerja juga dikenal pasti.

"Antaranya adalah kehilangan penggajian dan upah pekerja binaan dengan kadar 30 peratus yang berjumlah sebanyak RM3.3 bilion dan kemerosotan penggunaan bahan binaan sebanyak 42 peratus yang bernilai sebanyak RM4.6 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sesi Libat Urus Penggiat Industri Bersama Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Kompleks Kerja Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Sri Mustapa Mohamed.

Fadilah berkata, hasil lawatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi tempoh 20 April sehingga Ahad lalu ke atas 7,590 tapak bina, mendapati sebanyak 149 projek pembinaan masih belum beroperasi di mana 45 daripadanya tidak dapat beroperasi kerana faktor kewangan.

"Pihak Kementerian dimaklumkan bahawa kurangnya kemudahan dan tiada kelonggaran syarat atau pertimbangan khusus diberikan oleh pihak bank kepada syarikat pembinaan yang terjejas akibat pandemik ini.

"Sehubungan itu, sesi libat urus ini diadakan untuk mendapatkan input dan maklum balas situasi industri pembinaan akibat daripada impak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya sedang merangka inisiatif dan program berasaskan "digitalising construction sector" untuk menyokong perancangan pertumbuhan ekonomi negara.

FADILLAH ketika program Sesi Libat Urus Penggiat Industri Bersama Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
FADILLAH ketika program Sesi Libat Urus Penggiat Industri Bersama Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

"Antara inisiatif yang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya adalah Sistem Binaan Berindustri (IBS), Model Maklumat Bangunan (BIM), inovasi bahan binaan, dan pembangunan fokus baharu industri iaitu senggara infrastruktur.

"Ini dilihat akan memberi ruang untuk memperkukuh penyampaian pelaksanaan projek, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, mengoptimum sumber kewangan dan bukan kewangan supaya selari dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 3:21 PM