Ahmad 'Asri (dua kanan) dan Nazran bertukar dokumen sebagai simbolik MoU antara kerajaan Kelantan dengan CIDB sambil disaksikan Fadillah (kiri), Ahmad (tengah) dan Mustapa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Ahmad 'Asri (dua kanan) dan Nazran bertukar dokumen sebagai simbolik MoU antara kerajaan Kelantan dengan CIDB sambil disaksikan Fadillah (kiri), Ahmad (tengah) dan Mustapa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kelantan menjadi negeri pertama yang bakal mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan peruntukan berjumlah RM74 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Taman Perindustrian IBS yang berkeluasan 81 hektar itu akan dibina di Sungai Bagan, Machang dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Katanya, Taman Perindustrian IBS itu akan mengumpulkan semua pengusaha produk pembinaan terutama yang berkaitan IBS dan teknologi muncul (emerging technologies) sekali gus menjadikannya sebagai Pusat Rujukan Setempat bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan di pantai timur.

"Pembangunan Taman Perindustrian IBS ini selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan akan dibangunkan di dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Dengan adanya IBS, ia secara langsung dapat memperkukuhkan lagi jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya meningkatkan bilangan penggiat IBS terutamanya dalam kalangan Bumiputera dan usahawan kecil dan sederhana (SME)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

MoU ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid yang disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Fadillah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Fadillah berkata, Program Kecemerlangan IBS juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 tenaga kerja.

"Selain itu, penggunaan IBS secara menyeluruh juga dapat membantu dalam mengurus kos pembinaan perumahan selain harganya lebih kompetitif.

"Insentif IBS ini akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi IBS bagi meningkatkan kualiti, mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.

"Pada masa sama, Taman Perindustrian IBS ini juga turut dibangunkan di beberapa negeri lain yang akan membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama yang dijalinkan ini, ia berjaya memberi khidmat nasihat teknikal dari segi reka bentuk, pengilang dan pemasangan IBS, dan pemindahan teknologi sistem terbuka.

"Ia selaras dengan hasrat kami untuk meningkat dan memperkembangkan penggunaan kaedah pembinaan IBS yang sudah bermula pada 25 Februari 2018, di mana kerjasama dimeterai dengan CIDB Malaysia melalui anak syarikatnya iaitu CIDB IBS Sdn Bhd dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) bagi membangun dan meluaskan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan rumah kediaman khususnya di Kelantan.

"Dalam masa sama, ia juga menjadi titik-tolak kepada kerajaan negeri yang berhasrat mengembangkan ruang lingkup kerjasama secara lebih meluas kepada usahawan di Kelantan terutama dalam sektor pembinaan melalui cadangan pembinaan Taman Perindustrian IBS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 2:53 PM