Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali.
Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, memberi peluang kepada Malaysia dan Indonesia untuk meningkatkan hubungan ekonomi melalui kerjasama bersama dalam sektor ekonomi yang saling melengkapi, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali berkata MITI sudah mengenal pasti bahawa pembangunan ibu kota baharu itu bakal menyediakan pelbagai peluang dalam pembangunan infrastruktur, bahan bekalan dan perkhidmatan sokongan.

"Malaysia berminat dalam pelbagai bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, penjagaan kesihatan, ekopelancongan, mobiliti pintar dan generasi selanjutnya serta pembangunan hartanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, MITI telah menganjurkan sesi 'town hall' mengenai pembangunan Nusantara dan berkongsi perkembangan terkini mengenai status dan kemajuan pembangunan ibu kota tersebut terutamanya memfokuskan kepada projek dalam fasa berbeza dan jenis kerjasama dengan penggiat tempatan Indonesia.

Pada Ogos 2019, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan bahawa ibu negara Indonesia akan dipindahkan dari Jakarta di Pulau Jawa ke kawasan diliputi hutan di wilayah Kalimantan Timur untuk memastikan pembangunan yang lebih saksama dan menangani jumlah penduduk yang ramai di pulau tersebut (Pulau Jawa).

Lokman Hakim berkata perkongsian dalam tempoh panjang antara Malaysia dan Indonesia telah mewujudkan peluang pekerjaan, pelaburan dan pelbagai peluang lain untuk kedua-dua negara.

"Pada separuh pertama 2022, jumlah perdagangan dengan Indonesia adalah US$14.33 bilion, meningkat 37.9 peratus daripada US$10.39 bilion dalam tempoh yang sama dicatatkan pada 2021.

"Mengiktiraf hubungan ekonomi dan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara, Malaysia sedang mengkaji untuk mengenal pasti peluang potensi lain untuk menjalinkan kerjasama di Nusantara," katanya.

Sebelum sesi hari ini, MITI telah menganjurkan pelbagai penglibatan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan di Malaysia dan Indonesia untuk membincangkan penyertaan Malaysia di Nusantara.

Delegasi dari Indonesia telah diketuai oleh Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam M. Basuki Hadimuljono diiringi pegawai kerajaan dari Jakarta termasuk pegawai Kedutaan Indonesia yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Singapura.

Dalam pada itu, sejumlah lebih 200 hadirin mewakili kerajaan, institusi kewangan, pegawai dari Sabah dan Sarawak serta sektor swasta menghadiri sesi tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:14 PM