Amir Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan kerugian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tahun ini tidak sebesar dialami sewaktu PKP tahun lalu.

Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tahun lalu ketika awal PKP, industri pembinaan alami kerugian kira-kira RM11.6 bilion.

Namun, menurutnya, apabila sektor dibuka semula, kadar kerugian sudah menurun.

"Sepanjang 2020, pelaksanaan projek dalam industri pembinaan sebanyak RM78 bilion melibatkan projek awam dan swasta.

"Ia memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah empat peratus di samping memberi impak gandaan dalam ekonomi kepada sekitar 196 industri lain.

"Ada 131 projek di bawah KKR dan daripada jumlah itu 111 sudah berjaya disiapkan dengan nilai RM3.955 bilion," katanya pada sidang media khas mengenai pencapaian KKR sepanjang tahun 2020.

Katanya, anggaran kerugian semasa PKP 2.0 mungkin tidak sebesar tahun lalu kerana industri pembinaan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh kali ini.

Menurutnya, masalah ketika ini ialah tidak semua tapak bina beroperasi pada kapasiti 100 peratus.

"Berdasarkan 1,256 tinjauan dilaksanakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 14 peratus industri pembinaan beroperasi pada kapasiti penuh, 10 peratus beroperasi pada kapasiti 75 peratus, 15 peratus beroperasi pada kapasiti 50 peratus dan 61 peratus beroperasi pada kapasiti 25 peratus.

"Operasi yang tidak dapat berjalan secara maksimum dan tidak dalam kapasiti penuh antara faktornya kekurangan pekerja tapak bina sebab buat masa ini kerajaan tidak membenarkan kemasukan baharu pekerja asing," katanya.

Beliau berkata, justeru ada timbul isu pekerja tidak mencukupi berbanding yang diperlukan di tapak binaan tertentu.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 10:01 AM